
KUALA LUMPUR: DAP menuntut Peguam Negara yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memberi penjelasan lanjut berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, penjelasan lebih lanjut akan dapat meyakinkan rakyat kerana kerajaan perlu mengakui banyak pihak tidak berpuas hati termasuk Majlis Peguam terhadap keputusan berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berharap kerajaan memberi tempoh setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
“Sudah tentu dengan adanya jawatankuasa ditubuhkan akan dapat meyakinkan rakyat mengenai niat baik Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bangkit mencelah bertanyakan Guan Eng sama ada beliau menjangkakan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan ditukar jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti dikatakan Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) sebelum PRU-15 berlangsung.
Guan Eng dalam jawapannya berkata, Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan lalu dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut membidas Radzi supaya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu berkenaan.
“Bila kita kekalkan lantikan kerajaan lama, kenapa tidak bising, hanya bising bila tidak berpihak pada anda… jangan berpolitik di sini, ini tidak guna, tidak bawa kebaikan pada negara,” katanya.