KOTA KINABALU: Bajet 2023 untuk Sabah dan Sarawak disifatkan seimbang, prorakyat dan bertumpukan pemulihan ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pertambahan dana untuk kedua-dua wilayah itu ditekankan menerusi Perjanjian Majlis Khas Malaysia 1963.
Di sebalik cabaran perolehan hasil, katanya, peruntukan itu akan memenuhi keperluan asas rakyat.
Beliau berkata, RM6.3 bilion untuk pembangunan Sabah dan RM5.4 bilion untuk Sarawak, manakala untuk pembangunan luar bandar, RM1.5 bilion disediakan untuk Sabah dan RM2.55 bilion kepada Sarawak.
“Apa yang penting ialah dana untuk infrastruktur asas dikekalkan. Dalam beberapa kes, dana itu meningkat terutamanya untuk jalan luar bandar, air dan elektrik, dan infrastruktur digital.
“Perjanjian Majlis Khas Malaysia 1963 menekankan keperluan penambahan peruntukan untuk kemudahan perubatan dan pendidikan, terutama menangani sekolah dan klinik desa usang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sebagai reaksi terhadap pembentangan Bajet 2023, hari ini.
Mengulas mengenai keselamatan, beliau berkata, kebimbangan terhadap keselamatan sempadan khususnya aset dan pembinaan pusat kastam, imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sepanjang daerah sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan diambil tindakan serta diberi perhatian kewangan yang serius.
“Tumpuan kepada pemulihan ekonomi tepat. Dorongan tambahan untuk menghidupkan semula sektor pembuatan dan pelancongan tepat pada masanya dan sangat diperlukan,” katanya.
Maximus berkata, suara rakyat Sabah dan Sarawak dari segi kewangan kini semakin didengari, dihormati dan diambil tindakan. – BERITA HARIAN