Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap lebih banyak dana yang dirampas semasa siasatan skandal rasuah membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sejak 2016 dapat dikembalikan sebaik prosiding mahkamah selesai.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya dari semasa ke semasa menyalurkan maklumat terkini berkenaan siasatan dan hasil perbicaraan mahkamah berkenaan isu itu.
“Dari segi perbicaraan, lebih RM53 juta sudah dikemukakan sebagai bukti dan kita akan meminta rampasan berkenaan untuk dikembalikan kepada kerajaan.
Sesetengah pihak mungkin mendakwa wang itu belum dipulangkan dan boleh jadi mereka tidak nampak bagaimana wang itu dipulangkan.
Sekiranya terdapat maklumat baharu yang masih belum kita temui, ia akan disiasat melalui kaedah berbeza.
Pada masa ini, kita sudah memulakan proses pelucuthakan sebelum perbicaraan dan kita akan menunggu keputusan sebaik sahaja perbicaraan selesai,” katanya.
Tan Sri Azam Baki berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pertandingan akhir Debat Antirasuah Institusi Pendidikan Tinggi – IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kasim Mansor dan Ketua SPRM Sabah Datuk S Karunanithy.
Tambahnya, setakat ini SPRM sudah memulangkan kira-kira RM40 juta kepada kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dalam satu sesi bersama mahasiswa di UMS menyatakan beliau telah mengarahkan SPRM untuk menyelesaikan segera kes skandal rasuah JANS.
Perbicaraan kes rasuah skandal air Sabah dijangka disambung semula antara 20 dan 22 Jun ini.
Mengenai pelantikan Suhaimi Asbullah sebagai Pengarah JANS yang baharu, Tan Sri Azam menjelaskan SPRM hanya boleh memberikan pendapat, namun keputusan untuk menentukan pemegang jawatan itu terletak pada kerajaan Sabah sendiri.
Beliau percaya kerajaan negeri sudah meneliti dan menjalankan usaha sewajarnya walaupun Suhaimi pernah terbabit dalam perbicaraan rasuah air Sabah sebelum ini.
Suhaimi yang juga bekas jurutera air bahagian Beaufort memberi keterangan ketika perbicaraan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah baru-baru ini dengan pengakuan dia menerima wang tunai sebanyak RM1.6 juta daripada skim kutipan caruman.
Beliau bagaimanapun dipetik sebagai berkata yang dia sudah menyerahkan wang itu kepada SPRM pada 2016.