Tumpuan :
Nasional

Dana Ihsan MADANI diselaras ICU, baiki infrastruktur rosak akibat banjir – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.- Foto fail NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dana Ihsan MADANI kepada mangsa banjir diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya lebih efisien.

Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak akibat bencana itu, selain menampung keperluan lain yang masih belum mencukupi.

“Saya putuskan supaya dana ini kita selaraskan di bawah ICU JPM dan kita gunakan untuk baiki (infrastruktur) selain daripada peruntukan kerajaan seperti sekolah, (kebajikan) pelajar-pelajar dan hospital yang rosak.

“Walaupun tak rosak tapi kalau kemudahan itu meningkat (penggunaan) ia akan memberi kesan. Seperti mana satu sekolah diguna sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan tentunya tandas, lantai akan rosak.

“Selain peruntukan sedia ada (dari kerajaan), kita akan tampung ini (menggunakan Dana Ihsan MADANI) termasuk kalau perlu, makanan atau minuman, pakaian seragam, kemudahan yang tidak ditampung kerajaan yang belum cukup. Sebab itu saya nak (ICU) selaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan kebimbangan aktiviti mengutip sumbangan yang tidak terkawal dan diselaras sehingga menimbulkan masalah.

“Seperti mana kes (kutipan derma) Gaza, semua orang kutip, wang kadang tak tahu ke mana, kadang-kadang dia menentukan keutamaan dia sendiri.

“Saya pergi ke Mesir jumpa orang di sempadan. Dia kata kita tak perlu ramai sukarelawan untuk Gaza. Kita ada jurutera, doktor. Kita nak ubat dan sarung tangan, kemudahan. Tapi orang kita nak pergi jugak tapi tak boleh masuk (Gaza),” katanya.

Dalam majlis itu, Anwar mewakili kerajaan menerima sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat termasuk sumbangan peribadi untuk mangsa banjir.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sumbangan diterima daripada Yayasan Albukhary dan YTL Corporation Berhad yang masing-masing menyumbangkan RM5 juta.

U Mobile Sdn Bhd pula menyumbangkan RM3 juta manakala Berjaya Corporation Berhad memberi sumbangan sebanyak RM2 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini