Tumpuan :
Nasional

Dalang penyeludupan arak, dadah bergelar ‘Datuk’ diberkas 

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lima individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai dalang aktiviti penyeludupan arak dan pengedaran dadah jenis ekstasi.

Kesemua mereka diberkas dalam tiga serbuan sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru, pada Isnin dan selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pertama dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam antara jam 11 pagi sehingga 8 malam di sebuah kilang yang mempunyai pagar tinggi di Seri Alam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) menunjukkan pelbagai barangan kes yang dirampas dalam serbuan menumpaskan sindiket penyeludupan arak dan pengedaran dadah.

“Hasilnya berjaya menemui 7,910 kotak yang mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai dianggarkan bernilai RM5,539 juta.

“Modus operandi kumpulan ini menyeludup arak dan menyimpannya dalam kontena berkenaan sebelum diedarkan,” katanya pada sidang media, di IPD Seri Alam, hari ini.

Kegiatan ini dipercayai aktif sejak November tahun lalu.

Susulan serbuan di kilang itu, pihaknya menemukan sebuah makmal mini yang dijadikan tempat memproses dadah jenis ekstasi dan merampas pelbagai peralatan memproses bahan terlarang itu.

Hasil maklumat itu, polis melancarkan dua lagi serbuan pada hari sama dan hari berikutnya yang menyaksikan dua lelaki warga tempatan berumur 46 dan 54 tahun termasuk yang bergelar ‘Datuk’ dicekup.

Modus operandi sindiket adalah menjadikan sebahagian kabin kontena di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kegiatan itu dikesan bermula Jun lalu.

“Kegiatan pengedaran dadah aktif beroperasi sejak Jun lalu. Dalam serbuan itu, kita merampas satu tong mengandungi 22.84 kilogram serbuk ekstasi, 2,320 biji pil ekstasi seberat 696 gram dan 10 tong serta tiga botol mengandungi 182.90 liter cecair kimia.

“Jumlah nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM1.79 juta,” katanya.

Turut dirampas mesin dan peralatan memproses dadah selain menyita 10 kenderaan, pelbagai barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM235,397 dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM3.04 juta.

”Jumlah nilai rampasan dadah, sitaan dan arak tanpa cukai kastam bagi operasi ini pula adalah sebanyak RM10.37 juta,” katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 78,470 penagih jika terlepas ke pasaran.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah dan  tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Mereka direman empat hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini