Tumpuan :
Nasional

Dakwaan wujud permainan tertentu dalam BERNAS akan disiasat – Mohamad Sabu

Datuk Seri Mohamad Sabu.- FOTO: NSTP

RAWANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyiasat kenyataan Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) yang mendakwa terdapat permainan tertentu di dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) yang berkait isu beras.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mahu menuduh sesiapa dan sebarang tindakan selanjutnya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan.

“Itu saya kata dalam siasatan, saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kita memandang serius apa saja perkara.

“Ataupun struktur hal beras dan padi itu yang dibentuk pada tahun 2008, apakah perlu dikaji semula.

“Jadi (mungkin) pihak kerajaan akan menilai semula dari sudut pengkajian semula struktur organisasi hal beras di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd sempena program Santai Akuakultur Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media, hari ini.

Sementara itu, beliau juga mengulas dakwaan mengenai benih padi sah yang tidak bermutu diedarkan sejak 10 tahun lalu kepada pesawah.

“Saya akui (isu) benih padi ini sentiasa dalam permasalahan. Jadi kita akan menangani masalah itu dengan cara terbaik,” katanya.

Mengenai pertemuan Jumaat lalu antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bagi perbincangan mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras, beliau meminta semua pihak bersabar kerana ia masih di peringkat perbincangan dan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan Presiden BARIM, Ismail Awang berkata, ada ‘games’ tertentu di dalam BERNAS dan pendedahan persatuan pengilang padi berhubung dakwaan berlaku isu kartel mungkin benar berlaku.

Loading...
Terkini