KUALA LUMPUR: Polis dan bomba mengesahkan tiada sebarang kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di laluan Bukit Templer ke Selayang di sini, seperti yang ditularkan menerusi satu nota suara di media sosial, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang diarahkan ke lokasi sebaik menerima makluman perkara itu.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa laporan mengenai kejadian tanah runtuh di lokasi terbabit. Anggota bomba yang membuat siasatan di situ juga mendapati tiada kejadian tanah runtuh berlaku.
“Sebaliknya pasukan bomba mendapati hanya terdapat kerja-kerja pembaikan cerun sedang dijalankan di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman nota suara di media sosial mengatakan berlaku tanah runtuh di Bukit Templer menghala ke Selayang dengan laluan di situ dikatakan terhalang sepenuhnya.
Rakaman nota suara berdurasi 54 saat oleh seorang lelaki itu mendakwa kejadian itu baharu berlaku dan menyarankan orang ramai yang mahu ke Jalan Kuching supaya menggunakan laluan lain.
Sementara itu, jurucakap Polis Daerah Gombak turut mengesahkan tiada kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan itu seperti yang didakwa.
“Semakan telah dibuat dan mendapati tiada sebarang kejadian seperti mana yang ditularkan.
“Laluan lancar dari Rawang ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur menghala ke Rawang,” katanya. – BERITA HARIAN