Tumpuan :
Nasional

Dakwaan RUU Mufti gugat kebebasan rakyat tidak benar – Mohd Na’im

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dakwaan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, hakikatnya, seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, menurutnya, kebebasan tersebut tidak bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), Perkara 10 dan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama.

“Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar, Mohd Na’im berkata, ia perlu berlandaskan hukum syarak.

Ujarnya, Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan, kata beliau, adalah ciri sebuah negara berdaulat kerana tiada seorang pun bebas melakukan sebarang pelanggaran terhadap prinsip keluhuran perlembagaan.

“Sekatan kebebasan seseorang itu tidak bermakna dakwaan berlaku perlanggaran terhadap hak asasi itu benar kerana keabsahan suatu hak asasi itu ditentukan oleh Perlembagaan.

“Sebagai contoh ialah fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, terdapat juga sesetengah pihak yang keliru dan salah faham terhadap fungsi dan kuasa Mufti di bawah sistem perundangan negara.

Tegas beliau, tindakan mempertikai kuasa Mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat (Muftis are not the people’s elected representatives) adalah tidak berperlembagaan.

“Sebagai contoh, di bawah Seksyen 35 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga diperuntukkan kuasa untuk melarang penggunaan apa-apa loji atau bahan yang pada pendapatnya mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang semasa bekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Na’im, kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu seperti Mufti dan Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh akta mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Pelantikan mereka juga dibuat melalui undang-undang dan bukan secara pentadbiran semata-mata.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti.

Ini kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

Sebaliknya, Mohd Na’im mahu semua pihak menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana golongan itu adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat mengenai hukum syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti).

“Selain itu, perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa Negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” katanya

Semalam, Mohd Na’im dilapor mengesahkan RUU terbabit akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.

RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan.

RUU berkenaan memperuntukkan 9 Bahagian iaitu Bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam serta perunding akidah dan pelbagai.

Menerusi RUU Mufti, Mohd Na’im menyatakan, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas.

Tambahnya, pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir oleh akta berasingan.

“Saya ingin mengajak seluruh umat Islam memberi sokongan terhadap penggubalan RUU Mufti.

“Penggubalan RUU ini adalah sebahagian dari usaha kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam seterusnya menjamin hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini