Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dilemparkan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, berhubung dakwaan berlaku rasuah bernilai jutaan ringgit untuk mendapatkan projek rancangan tebatan banjir (RTB).
Justeru, beliau berkata, akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu dalam masa terdekat.
“Saya ingin menafikan kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh Chegubard yang mendakwa terdapat elemen rasuah dalam projek
RTB yang dikendalikan oleh kementerian saya.
“Ia bukan kali pertama Chegubard datang dengan tuduhan liar dan tidak berasas. Beliau sudah beberapa kali kalah saman kerana terbukti memfitnah.
“Tuduhan Chegubard tidak berasas dan menunjukkan beliau tidak memahami proses perolehan dan peruntukan belanjawan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Badrul membuat laporan polis mendakwa berlaku rasuah melibatkan jutaan ringgit untuk mendapatkan projek tebatan banjir sehingga menyebabkan kos projek meningkat dengan tinggi kepada RM16 bilion.
Badrul mendakwa, kerajaan membatalkan kontrak untuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang dilaporkan diberi menerusi rundingan terus oleh pentadbiran sebelumnya, dan akan menilainya semula.
Dakwanya, antara penerima adalah proksi menteri iaitu pemandu yang bekerja di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, manakala penerima lain adalah syarikat kosmetik.
Mengulas lanjut, jelas Nik Nazmi, dakwaan projek RTB mencecah sehingga RM16.6 bilion dan kononnya terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri adalah tuduhan tidak berasas dan berniat jahat.
“Kerajaan ini telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberikan keutamaan kepada kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang telah ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF) berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion,” katanya.
Beliau menjelaskan hampir kesemua projek RTB kerajaan pada tahun ini masih melalui proses tender.
Katanya, sebanyak 19 projek telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan belum ada perbelanjaan yang telah diperuntuk untuk perbelanjaan pembangunan.
Selain itu, tegas Nik Nazmi, projek RTB kerajaan melalui proses perolehan yang telus melibatkan tata kelola MoF dan mesyuarat Lembaga Perolehan yang mana beliau tidak terlibat.