Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diberi pilihan sama ada mengemukakan bukti atau membuat permohonan maaf.
Gesaan itu dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan dakwaannya berhubung penemuan RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri.
“Dia (Awang Hashim) perlu masuk (Dewan Rakyat) jelaskan kalau dia ada bukti bahawa SPRM juga salah dan siasatan telah dibuat. Kalau tidak dia minta maaf sahajalah cukup… saya rasa itu yang terbaik, terpulanglah pada dia. Saya minta Ketua Whip maklumkan kepada dia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit menyuarakan isu berkenaan selain menyifatkan dakwaan seumpama itu sebagai tuduhan liar.
Malah beliau juga mencadangkan agar Datuk Awang dibawa ke usul Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung dakwaan tersebut.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini membuat penafian mengeluarkan kenyataan berhubung penemuan RM94 juta yang ditemui di kediaman seorang bekas menteri.
Kelmarin, sidang Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas Datuk Awang membuat pendakwaan berhubung penemuan wang berkenaan di kediaman seorang Ahli Parlimen DAP.
Sementara itu, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon satu tarikh diberikan bagi menyelesaikan kemelut terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.