KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal dakwaan laporan Human Rights Watch (HRW) kononnya berlaku penyeksaan dan kematian di depoh tahanan imigresen di negara ini.
Menterinya, Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dakwaan menyatakan depoh tahanan itu sesak melebihi kapasiti juga tidak benar sama sekali.
Saifuddin berkata, sejumlah RM123 juta dibelanjakan kerajaan bagi menguruskan 20 depoh tahanan imigresen seluruh negara tahun lalu, selain RM80 juta bagi perbelanjaan makanan dan menanggung bayaran tiket feri dan kapal terbang apabila tahanan diusir.
“Begitu sekali kita jaga tapi HRW kata kita seksa sampai berlaku kematian. Akibat laporan ini, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sudah memanggil KDN dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini, begitu juga HRW bagi memberi keterangan.
“Saya difahamkan ketika diminta pembuktian di mana penyeksaan dan kematian yang disebut itu berlaku, satu cebis bukti pun tak dapat dikemukakan tapi laporan sudah mereka syarahkan satu dunia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai dakwaan laporan baharu HRW mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti, selain wujud kematian dalam kalangan golongan rentan dan kanak-kanak serta rancangan dalam menanganinya.
Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa pelarian dalam depoh tahanan Imigresen diberi layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh berkenaan.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan sama seperti tahanan dewasa, termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.
Saifuddin berkata, kapasiti yang boleh ditampung 20 depoh tahanan imigresen adalah 20,650 orang dan sehingga 7 Mac lalu, seramai 13,635 orang ditahan di depoh berkenaan.
“Ini (jumlah tahanan) di bawah kapasiti, jadi dakwaan HRW itu tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara.
“Adakah (tahanan) diseksa? Jawapannya tidak,” katanya.
Saifuddin berkata, tahanan merangkumi mereka yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan di negara ini sementara menunggu kedutaan masing-masing menyediakan dokumen perjalanan sebelum diusir.
Selain itu, katanya, mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport seperti terlebih tinggal, salah guna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.
“Ada juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)yang terbabit dalam kesalahan seperti dadah, rogol dan bunuh, malah ada yang mencuri nadir bumi di Sik, Kedah,” katanya.
FAKTA NOMBOR
Kewarganegaraan Tahanan
Myanmar 4,541 orang
Indonesia 3,797 orang
Filipina 2,914 orang
Bangladesh 1,000 orang
Thailand 329 orang
Lain-lain 1,054 orang
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Imigresen masih buru baki 30 PATI lolos di Bidor
- [VIDEO] Tahanan lolos: Operasi buru 30 PATI diteruskan
- Tahanan lolos diberi makan dan minum sebelum lapor kepada JIM
- [VIDEO] Tahanan lolos: 10 lagi ditangkap polis
- [VIDEO] Tahanan lolos: 41 ditangkap setakat ini
- [KEMAS KINI] [VIDEO] Tahanan lolos di Bidor, 39 ditahan setakat ini
- Buru tahanan asing lolos menaiki motosikal
- Baki 100 tahanan wanita telah dipindahkan dari Depoh Imigresen Bidor – Ruslin
- Syor tambah baik pusat tahanan akan dibawa ke KDN
- Kronologi PATI lari dari depoh imigresen
- Sukar beza tahanan lolos kerana warga asing ramai di sini – Penduduk
- Seorang lagi tahanan lolos maut akibat kemalangan