Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak dalam Op Global yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kononnya tindakan menyelamatkan kanak-kanak itu adalah bercelaru, tidak berasas sama sekali.
“Saya jawab dia (Mas Ermieyati) tiada dalam dewan, kebanyakan mereka ini mendengar daripada media sosial, kita sebagai JKM, kita mengikut ke mana polis bawa tapi tumpuan kita adalah kanak-kanak sebab itu di bawah kumpulan sasar kita dan kalau polis bawa kita ke tempat lain, itu kerja polis, bukan kita.
“Kita hanya bersiap sedia jika membabitkan kanak-kanak, cuma mungkin pihak polis, mereka perlu ke tempat-tempat yang mereka tahu memang di bawah GISBH,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas selepas menyempurnakan Program Kolaborasi Strategik bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri, di sini hari ini.
Semalam, Mas Ermieyati ketika perbahasan isu GISBH di Dewan Rakyat mendakwa kes berkenaan agak bercelaru, seolah-olah ‘tangkap muat’.
Dakwa beliau, sejumlah besar kanak-kanak yang diselamatkan bukan dari rumah kebajikan yang didakwa berlaku kejadian liwat atau penipuan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, JKM tidak sesuka hati menyerbu mana-mana premis kerana agensi itu bertindak berdasarkan maklumat polis.
Tegasnya, pihak polis sudah bersedia dan menjalankan siasatan sejak awal lagi.
“Cuma di bawah JKM, kita hanya membabitkan kumpulan kanak-kanak dan kalau ibu bapanya ada di situ (kita lepaskan), sebab ada kes dia hanya menyewa tempat itu dan kerana kita tiada bukti, betul-betul dia menyewa, dia bukan dari GISBH, dia dilepaskan oleh polis dan anak dia pun kita kembalikan seperti dikehendaki.
“Kita tidak sembarangan kerana kita tidak mahu memisahkan anak dengan ibu bapa, jadi yang ada bersama kita sekarang, tinggal 560 orang.
“Ada pula yang tanya kenapa 560? Kenapa 558? Dua orang lagi bersama dengan ibunya, itu bukti kita tidak mahu memisahkan ibu dengan anak. Kita tidak sembarangan seperti mana yang dituduh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu percaya dengan apa yang diperkatakan di media sosial berkaitan isu kanak-kanak GISBH.
“Saya juga mengikuti (di media sosial) kerana hendak tahu apa yang dikatakan itu padan atau tidak dengan apa yang berlaku, kerana saya turun sendiri, saya tahu apa yang berlaku cuma saya tidak berkongsi di media sosial kerana rumah perlindungan sepatutnya tempat selamat, orang sepatutnya tidak bercerita sangat,” katanya.
Pada 11 September lalu, polis dan pelbagai agensi berkaitan melancarkan Op Global dan menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.