comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan Jho Low di Myanmar, PDRM belum terima sebarang maklumat – KPN

Razarudin ketika memeriksa kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Asas Kepolisan (PLAK) di PULAPOL, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang maklumat daripada Polis Myanmar berhubung keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) di negara itu seperti didakwa peguam kepada Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya sentiasa berhubung dengan pasukan keselamatan negara itu bagi mendapatkan sebarang maklumat.

“Jika ada maklumat dari Myanmar kita akan berikan, apa juga yang kita minta daripada pihak Myanmar ini, mereka juga akan membantu.

“Buat masa ini kita tiada maklumat apa-apa dan Myanmar pun tidak menyatakan apa-apa maklumat,” katanya.

Tambah Razarudin, PDRM sentiasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes-kes tertentu dari semasa ke semasa.

“Pihak PDRM ini semua faham bahawa kita ada Interpol, Aseanapol. Baru-baru ini, saya baru habis Perhimpunan Agung Interpol di Glasgow (Scotland), apa juga maklumat kita ada kita akan berkongsi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Muhammad Shafee sebelum ini mendakwa beliau percaya Jho Low bersembunyi di Myanmar ketika berucap dalam
forum bertajuk ‘Media Townhall: Getting the Facts Right-The Untold Stories of 1MDB & Other Cases’, dua hari lalu.

Dia mendakwa perkara itu berdasarkan soal balasnya terhadap bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini