Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dakwaan isu rasuah di KLIA : PM buat lawatan mengejut, jamin siasatan rapi

 

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan di Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Julai 2023. – Foto Pejabat Perdana Menteri

Perdana Menteri berkata, secara umumnya, penugasan kakitangan jabatan itu di pintu masuk utama negara itu berjalan dengan baik dan agensi itu juga memberi respon sangat baik dan positif, terutama terkait perkara berbangkit sejak beberapa hari lalu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut di kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – foto Facebook

“Saya ingin bagi jaminan siasatan rapi akan dibuat. Tapi umumnya majoriti petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan sewajarnya.

“Saya cuba teliti langkah diambil setakat ini dan saya lihat Imigresen buat respon yang sangat baik dan positif. Yang harus kita kenalpasti adalah kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan.

Siasatan rapi akan dibuat,” katanya selepas membuat lawatan mengejut di KLIA hari ini.

Beberapa hari lalu, tular gambar dan laporan berita yang mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China, namun ia dinafikan Ahli Parlimen Bintulu itu.

King Sing sebaliknya mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara itu, sehingga mengundang beberapa kenyataan penafian daripada kesatuan dan kakitangan yang mewakili agensi berkenaan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya akan menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di KLIA seperti yang didakwa menteri berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kertas enkuiri polis dibuka berhubung kejadian itu dan beberapa pihak akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Loading...
Terkini