comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan guru paling ramai palsu MC tidak bertanggungjawab – Fadhlina

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dakwaan mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah tidak bertanggungjawab.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. dakwaan tersebut juga memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan dan isu tersebut tidak sepatutnya berbangkit.

“Tatatekolala penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.

“Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC.

Selain itu, CUEPACS dilapor berkata, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

Mengulas lanjut, jelas Fadhlina, ketika ini, terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

Ujar beliau, kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara.

“Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada Ogos lalu.

“KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM bertekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan.

Tambahnya, profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini