Tumpuan :
Nasional

Dakwaan derhaka terhadap institusi diraja adalah fitnah tidak berasas – BBC

FOTO: KENYATAAN BBC

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas.

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan itu sengaja dimainkan untuk mengelirukan rakyat.

Katanya, Datuk Seri Anwar hanya menjelaskan fakta bahawa titah Tuanku Sultan Pahang mengenai tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak pernah diserahkan kepadanya dan urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Tuduhan ini adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.

“Ini adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Selain mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan, BBC menegaskan bahawa dakwaan itu juga boleh menjejaskan keyakinan terhadap kestabilan politik negara.

Dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.

“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti,” tegas kenyataan itu yang menolak tuduhan bahawa isu berkenaan akan menyebabkan pelabur menjauhi Malaysia.

BBC turut mengkritik Ketua Pembangkang kerana didakwa menggunakan isu institusi diraja sebagai alat politik, tindakan yang bukan sahaja tidak matang tetapi juga boleh menjejaskan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, BBC menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

“Sepanjang pentadbiran, Perdana Menterj sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

Segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara,” jelasnya.

BBC menyeru rakyat agar menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara demi kestabilan dan kemajuan Malaysia.

Loading...
Terkini