Tumpuan :
Nasional

Dakwaan berlaku kebocoran data 17 juta MyKad tidak benar – Saifuddin

Saifuddin Nasution bercakap kepada media pada lawatan di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi. Foto NSTP

JITRA: Kerajaan menafikan berlakunya kebocoran data 17 juta dokumen rasmi MyKad milik rakyat Malaysia seperti didakwa di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemeriksaan rapi yang dilakukan agensi keselamatan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dakwaan itu mendapati ia tidak benar sama sekali.

Jelasnya, kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan data terutama MyKad milik seluruh rakyat Malaysia adalah terjamin dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Dakwaan itu timbul dari seorang pengguna media sosial yang pamerkan beberapa keping Mykad, tapi dia dakwa 17 juta. Saya segera semak dengan JPN dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) yang befungsi sebagai autoriti keselamatan IT kerajaan dan kedua-duanya sahkan tiada insiden kebocoron dilaporkan.

“Kita minta orang ramai berhati-hati apabila terima maklumat sebegini, mudah sekali untuk sebarkan dengan papar beberapa keping dan beritahu 17 juta, saya harap perkara ini dihentikan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin hadir melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi yang menempatkan mangsa banjir sekitar kawasan Kepala Batas.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberi jaminan integiti data dan maklumat populasi rakyat adalah terpelihara di bawah pengawasan JPN.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan kerajaan terbuka menubuhkan suruhanjaya bebas membabitkan agensi penguatkuasaan lain, bagi membolehkan aduan orang awam disalurkan secara cepat.

Beliau berkata, ketika ini hanya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diwujudkan sejak Julai tahun lalu, berfungsi dalam menerima aduan awam berkaitan pasukan terbabit.

“Mengenai Akta IPCC yang diluluskan pada 2022, ia khusus untuk polis, walaupun Perdana Menteri ada menyebut ketikamenjadi Ketua Pembangkang, beliau berharap suruhanjaya itu bukan untuk polis sahaja, bahkan semua agensi penguatkuasa lain.

“Bercakap mengenai tatakelola dan integriti, ia harus meliputi semua agensi, namun keputusan ketika itu adalah dahulukan dengan IPCC dan pentadbiran ketika ini kita mula kuatkuasa 1 Julai 2023, makna perjawatan dan mula terima aduan bermula.

“Disebabkan itu, buat masa sekarang kita tumpukan dahulu kepada IPCC, ke depan nanti jika ada ruang untuk kita tambah baik dengan agensi lain kita boleh laksanakan kerana kerajaan sentiasa terbuka,” katanya.

Semalam, IPCC memaklumkan menerima sejumlah 529 aduan berkaitan isu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas lebih setahun Akta IPCC 2022 dikuatkuasakan.

Berikutan itu, terdapat cadangan agar suruhanjaya bebas berkenaan turut diperluas kepada agnesi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi membolehkan aduan awam disalurkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini