Tumpuan :
Nasional

Dakwa Pulau Pinang milik Kedah: Polis buka kertas siasatan – PM

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan, polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Sanusi juga mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Anwar berkata, polis telah memulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan sesuai bagi menghindar kenyataan berterusan yang melanggar undang-undang.

Siasatan katanya mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Kes berkenaan sedang menunggu Peguam Negara untuk ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan kerana isu itu telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk  Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Soalan itu bagaimanapun dibantah beberapa ahli parlimen pembangkang yang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, kerana mendakwa mengandungi tanggapan negatif.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya kerana mendapati ia tiada unsur negatif.

Sementara itu Anwar  menyifatkan gesaan  Sanusi supaya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memadamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, sebagai  tindakan  tidak bertanggungjawab.

Beliau melihat tindakan itu sebagai   gelojoh untuk merebut kuasa pilihan raya sehingga sanggup mengorbankan prinsip Perlembagaan dan menimbulkan huru-hara.

 

Loading...
Terkini