KUALA LUMPUR: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung dakwaan tipu wang pelaburan tujuh individu RM900,000.
Menurutnya, segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak itu disifatkan sebagai fitnah dan cubaan untuk menjatuhkan dirinya dan kelab bola sepak Kelantan FC.
Artikel berkaitan: 7 individu dakwa ditipu pemilik kelab bola sepak RM900,000
“Semasa sidang media itu (semalam), kami dapati banyak dan pelbagai tohmahan, fakta yang tidak benar dan tidak berasas, fakta yang dengan sengaja diselindungkan.
“Semua ini adalah fitnah dan penyelewengan fakta yang disengajakan.
“Pihak syarikat kini sedang mengambil tindakan saman fitnah ke atas tuduhan yang disampaikan melalui sidang media, semalam,” katanya.
Terdahulu, beberapa pelabur mendakwa diperdaya Norizam supaya melabur dalam pra tawaran permulaan saham (pra-IPO) untuk syarikatnya yang dikatakan akan disenarai di Bursa Malaysia.
Tujuh individu yang melabur di syarikat milik usahawan itu mendakwa diperdaya membabitkan kerugian mencecah RM900,000 apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Norizam, Siti Zurina Sabaruddin berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak terbabit yang menyerang tanpa fakta dan tidak profesional.
“Saya mewakili anak guam saya akan mengambil tindakan undang undang mengikut lunas perundangan,” ujarnya.