Tumpuan :
Nasional

Daim, keluarga mohon batalkan tuduhan gagal isytihar harta

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin dan keluarga memohon meminda notis permohonan dengan memasukkan perintah bagi membatalkan tuduhan gagal isytihar harta yang dikenakan terhadap beliau dan isteri, bulan lalu.

Daim atau nama sebenarnya, Che Abdul Daim Zainuddin dan keluarga memohon demikian dalam permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam permohonan asal pada 10 Januari lalu, Daim dan ahli keluarganya memohon, antaranya mahkamah mengeluarkan perintah bagi SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan terhadap mereka.

Mereka juga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua penyiasatan yang dimulakan terhadap mereka sejak Februari 2023 sehingga kini dan membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

Bagi kebenaran untuk meminda permohonan kebenaran difailkan tiga hari lalu, mereka memohon perintah terhadap pendakwa raya untuk membatalkan pertuduhan terhadap Daim pada 29 Januari dan isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid pada 23 Januari.

Afidavit sokongan diikrarkan peguam, Alicia Sabrina Gomez, menyatakan Daim dan keluarga memohon antara lain, perisytiharan bahawa kedua-dua notis Seksyen 36(1) Akta SPRM dikeluarkan terhadap Daim dan Na’imah adalah menyalahi undang-undang.

Mereka juga berhujah kedua-dua notis itu tidak berperlembagaan dan tidak sah, sekali gus memerlukan perintah ia dibatalkan.

Sekiranya kedua-dua notis itu diisytihar tidak sah dan dibatalkan, mereka memohon tuduhan yang bersandarkan kepada ketidakpatuhan notis berkenaan juga tidak sah dan terikat untuk dibatalkan.

Selain Daim, 85, dan Nai’mah, 66, pemohon lain ialah empat anak mereka, Asnida, 62; Md Wira Dani, 45; Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta Ilham Tower Sdn Bhd.

Mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden. Mahkamah Tinggi sudah mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu pada 16 Januari lalu dan akan membuat keputusan pada 4 Mac ini.

Isnin lalu, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan hartanya, antara lain satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB).

Selain itu, tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN
Loading...
Terkini