KUALA TERENGGANU: Daging buruh puyuh Rahmah telah diperkenalkan oleh seorang pengusaha burung puyuh sejak akhir bulan lalu sebagai menyahut saranan kerajaan dengan Menu Rahmah.
Mubin Mohamad, 39, yang juga usahawan pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), berkata daging burung puyuh dijual hanya RM2 seekor, berbanding di antara RM4 dan RM4.50 sebelum pelaksanaan menu Rahmah diperkenalkan kerajaan akhir bulan lalu.
“Sejak memperkenalkan daging puyuh Rahmah awal bulan lalu, saya mampu menjual antara 400 ekor hingga 700 ekor sehari.
“Walaupun keuntungan diperoleh tidak banyak, saya mampu menjualnya dengan jumlah kuantiti jualan yang banyak,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di pekarangan Masjid Al-Ikhwan di Kampung Gelong Bilal, di sini, hari ini.
Penjualan daging burung puyuh Rahmah oleh Mubin turut mendapat perhatian Pengarah FAMA negeri, Nukman Hashim.
Mengulas lanjut, Mubin berkata, penjualan daging puyuh Rahmah akan diadakan di beberapa pasar tani termasuk pada program JTDL anjuran FAMA.
“Walaupun keuntungan hasil jualan daging puyuh Rahmah kecil, tetapi saya bangga dapat bersama menyahut seruan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk bersama menangani masalah kos sara hidup rakyat.
“Saya bercadang untuk memperkenalkan inisiatif telur puyuh Rahmah, tetapi perlu berbincang dengan ahli keluarga,” katanya.
Mubin turut mengesahkan mendapat restu dan galakan daripada ahli keluarga apabila mencadangkan memperkenalkan daging puyuh Rahmah sebagai menyahut seruan KPDN bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan masyarakat.
Katanya, pengunjung pasar tani juga terkejut apabila harga seekor burung puyuh yang siap dibersihkan hanya dijual pada harga RM2, berbanding di antara RM4 dan RM4.50 seekor sebelum pelaksanaan menu Rahmah oleh KPDN.
“Daging burung puyuh diakui mendapat permintaan daripada pengunjung, tetapi disebabkan harganya terlalu mahal, tidak ramai yang mampu untuk membelinya.
“Masyarakat terutama pengunjung pasar tani kebiasaannya akan membeli lebih daripada lima ekor burung puyuh dengan harga antara RM4 dan RM4.50 seekor,” katanya yang mengakui tidak ramai masyarakat mampu membeli daging burung puyuh berikutan harganya terlalu membebankan.
Sementara itu, Nukman mengajak usahawan pasar tani agar turut sama menyahut saranan kerajaan untuk mengurangkan harga pelbagai barangan termasuk sayur, ikan, daging, ayam dan makanan lain. – BERITA HARIAN