PELABUHAN KLANG: 96,000 kilogram (kg) daging babi sejuk beku yang cuba diseludup ke negara ini dirampas selepas empat kontena ditahan di Pelabuhan Utara, 13 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail memaklumkan hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai daging babi dipercayai tidak mempunyai permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket adalah mengikrar sebagai aksesori perabot di dalam borang manifes bagi mengelak dikesan oleh kastam.
“Nilai dagangan dianggarkan RM2.7 juta membabitkan rampasan sebanyak 96,000 kg,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
Norlela berkata, siasatan lanjut mendapati kontena terbabit dari Hong Kong, namun label terdapat pada barang sejuk beku itu dari Brazil.
“Kita percaya daging babi (sejuk beku) ini cuba diseludup masuk dan kemudian dibungkus semula menggunakan pembungkusan tempatan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada sindiket ini adalah sindiket sama yang membawa masuk barangan sejuk beku di Sabah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.