comscore
Tumpuan :
Nasional

Daging babi dibuang ke dalam sungai, nelayan buat laporan polis 

FOTO: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Sekumpulan nelayan di Kampung Setelu, Kampung Pasir Tumbuh dan Kampung Bertam, di sini, semalam membuat laporan polis selepas menemukan daging dipercayai daging babi dibuang ke dalam Sungai Nenggiri, di sini, Sabtu lepas.

Zulkifli Junuh, 52 berkata, pada jam 5.30 petang dia ternampak daging haiwan terbabit hanyut dibawa arus ketika ingin memeriksa pukat yang dipasangnya sebelum memberitahu rakan nelayan yang lain.

“Setelah pulang ke rumah baru saya dapat tahu tentang hantaran yang tular di Facebook tentang daging babi dibuang ke dalam sungai yang dimuat naik oleh penduduk yang melihat kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Lah, di sini hari ini.

Beliau berkata pada hari sama, Sabtu lepas, muatan sebuah lori yang dipercayai daging babi sejuk beku dipercayai  bertaburan di atas Jalan Gua Musang-Jeli selepas dinding sebelah kiri lori berkenaan tercabut ketika dalam perjalanan dari Tanah Merah menuju ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur.

Ketua Jaringan Nelayan Darat bagi Kampung Pulau Setelu Zakaria Omar, 59, kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang tidak sensitif dan menyebabkan punca pendapatan nelayan di tiga kawasan sekitar terjejas.

“Sudah 20 tahun saya mencari rezeki di sungai ini, saya amat kecewa. Kita tahu daging itu akan dimakan oleh ikan baung dan ikan kenerak di dalam Sungai Kuala Lah dan Sungai Nenggiri yang akan ditangkap oleh kami untuk dijual,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini