comscore
Tumpuan :
Nasional

Daftar awal, tunai haji di usia muda

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Menunaikan haji dalam usia muda sememangnya menjadi impian setiap umat Islam.

Namun, dengan tempoh menunggu yang lama sehingga mencecah 100 tahun, mendaftar awal di Tabung Haji TH, merupakan salah satu cara untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu sewaktu badan masih sihat dan bertenaga.

Menurut pegawai Tentera Darat ATM, Mejar Noor Hapizah Adnan, 33, dia tidak menyangka dapat menunaikan haji pada tahun ini memandangkan tempoh menunggu giliran haji yang lama.

Katanya, dia mendaftar haji pada tahun 2019, namun suaminya terlebih dahulu mendapat tawaran pada hujung Mac lepas, sebelum dia membuat rayuan untuk mengerjakan haji bersama mahram.

“Saya menasihatkan golongan muda supaya daftar haji awal, masukkan duit RM1,300 terus daftar. Jangan ingat buka akaun TH automatik daftar.” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

TH menggunakan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” sejak 1995.

Melalui sistem pendaftaran ini, pendeposit TH boleh mendaftar giliran menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300.

Seorang arkitek Nur Nadirah Nasuha Ramlan, 29, berkata ibu bapanya, Ramlan Abdul Majid, 60, dan Khuzaiman Abdul Talib, 58, mendaftarkan haji untuk dia dan empat adik-beradiknya pada 2008 melalui potongan gaji.

“Setelah kami mula bekerja, kami terus buat potongan gaji kami sendiri ke akaun TH setiap bulan,” katanya.

Katanya, beliau amat bersyukur kerana dapat menunaikan haji bersama empat adik-beradik dan abang iparnya ketika masih sihat dan bertenaga.

Loading...
Terkini