![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-PPZ-2023-02-27T171443.841.jpg)
ALOR SETAR: Daerah Baling kini berada dalam kategori cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata fenomena cuaca panas dan kering ini adalah situasi berulang yang lazim berlaku setiap tahun bermula Februari hingga Mei.
Beliau berkata, suhu harian tertinggi biasanya dicatatkan pada waktu awal petang, dengan bacaan suhu tertinggi semalam direkodkan di Felda Teloi Kanan, Baling, iaitu 36.1 darjah Celsius.
“Gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh ini, namun keadaan tahun ini diramal tidak seteruk tahun lalu kerana pengaruh La Nina lemah yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Penduduk dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar, dan tidak melakukan pembakaran terbuka.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) melalui kenyataan rasminya menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius di kebanyakan kawasan di utara Semenanjung sepanjang tujuh hari akan datang.
Met Malaysia turut menyarankan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca, dan media sosial jabatan itu.
Dalam keadaan cuaca panas yang berterusan ini, langkah penjimatan air juga amat penting, selain mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan risiko jerebu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.