JOHOR BAHRU: Polis Johor menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melumpuhkan 25 sindiket dadah berskala besar, membabitkan rampasan 7.30 tan dadah bernilai RM99.76 juta, sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam tempoh itu juga 99 ahli sindiket berjaya diberkas, menjadikan Johor antara negeri paling aktif dalam memerangi jenayah narkotik.
Katanya, pembanteras sindiket menerusi operasi di lokasi panas seperti kawasan Felda, Projek Perumahan Rakyat (PPR), terminal bas, jeti nelayan, perumahan kos rendah dan lokasi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, pencapaian prestasi yang berakhir 31 Disember itu menyaksikan 21,093 serbuan dilaksana melibatkan pemeriksaan 46,878 orang.
“Seramai 25,065 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu pencapaian ketiga tertinggi di Malaysia dengan rampasan 7.30 tan dadah, yang boleh menampung keperluan 3.65 juta penagih.
“Dalam kejayaan terbesar tahun lalu, JSJN Johor berjaya melumpuhkan sindiket antarabangsa menerusi Op Jaring 12 pada 29 Mei 2024, yang menyaksikan rampasan dadah bernilai RM12.63 juta serta penahanan 14 individu termasuk warga asing.
“Sindiket pengedaran dadah tempatan terbesar pula berjaya ditumpaskan dalam Op Jaring 23 pada 15 Oktober 2024, dengan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM28.58 juta. Seramai tujuh individu ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kumar berkata, selain menumpaskan sindiket dadah, JSJN Johor turut menyita aset sindiket bernilai RM17.23 juta, manakala 739 individu ditahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menjadi tangkapan keempat tertinggi di Malaysia.
Katanya, seramai 139 individu dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985, yang merupakan pencapaian kedua tertinggi antara kontinjen dalam negara.
“Secara keseluruhannya, Polis Johor berjaya mencapai semua KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan bagi tahun lalu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.