comscore
Tumpuan :
Nasional

Dadah bernilai lebih RM68 juta dilupus polis Johor

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar menunjukkan pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Sebanyak 989.21 kilogram (kg) dan 7,479.9 liter dadah pelbagai jenis termasuk heroin dan daun ketum dilupuskan polis Johor pada tahun ini membabitkan anggaran nilai RM68.88 juta.

Nilai itu adalah lebih 12 kali ganda berbanding yang dilupuskan bagi tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak RM5.43 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua dadah terbabit adalah berkait dengan 6,630 kes yang berjaya diselesaikan dari tahun 2000 hingga 2023.

Katanya, selain dadah terbabit pihaknya turut melupuskan pelbagai peralatan memproses dadah yang dirampas ketika serbuan.

“Pada 2023, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 322.13 kg dan 1,562.6 liter cecair dadah bernilai RM5.43 juta membabitkan 3,214 kes yang telah diselesaikan.

“Hari ini, JSJN melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine, MDMA, daun ketum dan pelbagai jenis dadah lain semuanya berjumlah 989.21 kg dan cecair 7,479.9 liter yang mengandungi bahan-bahan dadah berbahaya.

“Semua kes yang membabitkan dadah ini sudah berjaya diselesaikan iaitu dituduh, disabitkan hukuman dan melalui proses rayuan.

“Dari sudut perundangan, barang-barang yang akan dilupuskan hari ini telah selesai sepenuhnya dari sudut perundangan dan proses mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, wakil Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd, Sharifah Noorul Aini Syed Abdullah.

Kumar berkata, semua proses pelupusan itu akan dibuat di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan yang membabitkan kos RM73,000.

Katanya, proses membawa dadah ke tapak pelupusan itu akan diiring dan dikawal ketat pihaknya sehingga selesai proses pelupusan yang dijangka dilaksanakan hari ini.

Pada masa sama, Kumar berkata, JSJN sentiasa komited dalam memastikan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini dibasmi hingga ke akar umbi.

“Proses atau perjuangan ini akan berterusan. Kita harap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini