Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
Selangor : Polis Selangor melakukan tangkapan dan rampasan pelbagai jenis dadah secara keseluruhan dianggarkan bernilai RM 7.42 juta di dua lokasi berbeza.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, serbuan dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu Shah Alam dan Sepang.
Menurut beliau, dalam serbuan di Sepang pada 5 Julai lalu, seorang lelaki berumur 44 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran bagi pasaran tempatan.
Dalam serbuan itu juga, dadah jenis methamphetamine seberat 46.3 kg dan ketamin seberat 1.5kg bernilai RM1.62 juta dirampas.
Manakala dalam operasi berasingan di Shah Alam, polis menahan dua suspek lelaki berusia 38 dan 47 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan bagi pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang.
Hasil serbuan 6 Julai lalu, turut merampas dua jenis dadah jenis methamphetamine seberat 169.4kg dan pil yaba 4.8kg dimana kedua-dua dadah ini dianggarkan bernilai RM5.8 juta.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi ini adalah 222 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.42 juta.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan premis kediaman sebagai lokasi untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan”, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, sekiranya dadah itu terlepas dalam pasaran, ia boleh digunakan lebih 1.1 juta penagih.
“Saringan awal polis terhadap dua orang suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut seksyen 39B ADB 1952 dan suspek direman 7 hari bagi membantu siasatan.
Tindakan pelucutan harta juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya 1988.
Pihak JSJN setakat ini menyita aset sindiket dianggarkan bernilai RM87,705 iaitu 2 kenderaan jenis Kia dan Toyota Hilux, 2 barang kemas dan seutas jam tangan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bernilai RM7.56 juta.