comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuti Tahun Baharu Cina kembali meriahkan ‘Mini Dhaka’

‘Mini Dhaka’ yang terletak di Jalan Silang dan Lebuh Pudu kembali menjadi tumpuan warga asing sempena cuti Tahun Baharu Cina.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Cuti umum Tahun Baharu Cina hari ini kembali ‘menghidupkan’ suasana ‘Mini Dhaka’ yang terletak di Jalan Silang dan Lebuh Pudu di sini.

Tinjauan Berita Harian yang  bermula jam 11 pagi mendapati, setiap ceruk di kawasan ini sesak dan dipenuhi oleh warga asing dipercayai dari Bangladesh.

Selain itu, terdapat segelintir warga asing berkenaan tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah merata-rata.

Warga asing ini juga turut melanggar undang-undang dengan menjalankan perniagaan seperti menjual sirih, ikan kering, manisan dan rokok di kaki lima.

Ada juga  dalam kalangan mereka menjual kad prabayar dan meminta sedekah terhadap pengunjung yang melalui kawasan ini.

Bagi buruh binaan, Hoesin Md Imun, 25 dari Bangladesh berkata, cuti Tahun Baharu Cina ini adalah hari untuk dia berjumpa rakan-rakannya.

“Saya mengambil cuti tiga hari untuk berjumpa tiga lagi rakan saya yang lain di sini.

“Mereka bekerja di Klang, Jalan Silang ini dipilih sebagai lokasi pertemuan disebabkan kami semua tahu kawasan ini,” katanya yang tinggal di Kajang.

Dia yang telah bekerja di Malaysia sejak lima tahun bagaimanapun tidak mengetahui kawasan itu pernah diserbu oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Seorang lagi warga asing dari Bangladesh, Nabin Biblop, 25, turut menyatakan cuti Tahun Baharu Cina ini adalah kesempatan untuk bersiar-siar ibu negara.

Dia yang baru bekerja selama dua bulan sebagai buruh binaan di Malaysia berkata, dia mengunjungi Jalan Silang bagi membeli-belah.

“Cuti Tahun Baharu Cina juga adalah masa untuk saya bertemu rakan-rakan senegara,” katanya yang tinggal di Segambut.

Pada 21 Disember tahun lalu, kawasan itu pernah digempur secara besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi besar-besaran itu melibatkan 60 premis di kawasan ini serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa serta 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Dilaporkan, operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu ‘dikuasai’ warga asing sehingga ada yang semakin ‘besar kepala.’

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini