Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Semua anggota Jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan dibekukan cuti susulan bencana banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka diarahkan dengan segera untuk turun padang.
“Semua menteri kabinet minta teruskan tugas sekarang. Turun.
“Ya (cuti dibekukan). Terus, terus (turun padang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17.
Ketibaan Anwar pada jam 1.12 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Naim Mokhtar bersama pengurusan Surau Pudina.
Beliau bersama jemaah lain diperdengarkan bacaan khutbah Jumaat bertajuk “Tuntutan Mengimarah Rumah Allah.”
Dalam khutbah itu, imam mengingatkan keperluan untuk menghidupkan masjid dengan pelbagai program bermanfaat kepada umat Islam.
Terdahulu, Anwar sempat menjamu selera di Medan Selera Taman Warisan Pertanian di Presint 16.
Beliau kemudian menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir ke gerai berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.