Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Cuti-Cuti Cikgu’ antara 10 hadiah buat guru

 

Oleh Amirulhakim Lokman

MELAKA : Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 10 inisiatif yang menjadi fokus baharu sempena Sambutan Hari Guru 2023, hari ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, kesemua prakarsa itu diharap dapat membantu memperkasa kebajikan guru, mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antaranya kata beliau, KPM dengan kerjasama rakan strategik akan menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik.

Foto : NSTP

“Program ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya”

“Selain menghargai sumbangan guru menerusi peluang pakej percutian menarik, inisiatif ini turut dapat mempromosikan destinasi pelancongan dan merancakkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, inisiatif lain adalah memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis berkenaan.

“Sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini akan disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja sekaligus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“Kita juga bersetuju memberi kebenaran dan kelonggaran kepada guru di semua institusi pendidikan bawah KPM memakai baju korporat rasmi KPM bagi memberi keselesaan semasa bertugas,” katanya.

Tambah beliau, tujuh prakarsa lain adalah penambaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2002 Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan sepuluh buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli.

Ia termasuk Perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah dan akan bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan.

“KPM juga akan mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia, mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam memperkasa profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru serta penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0,” katanya.

Loading...
Terkini