comscore
Tumpuan :
Nasional

Curi kabel guna lori syarikat beli belah dalam talian, 3 individu ditahan

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Tiga individu ditahan selepas didapati melakukan kegiatan jenayah mencuri kabel di sekitar Shah Alam, Selangor dengan menggunakan lori syarikat beli belah dalam talian pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.40 pagi apabila lori yang dalam keadaan mencurigakan itu enggan berhenti, yang seterusnya berlaku insiden kejar mengejar di sekitar Persiaran Dato Menteri, Seksyen 14 Shah Alam.

Salah seorang suspek didapati bekerja sebagai pemandu lori syarikat beli belah dalam talian.

“Pemeriksaan dalam kenderaan di bahagian belakang telah dapati terdapat (13) potong kabel bersaiz 2 inci, panjang lebih kurang 8 hingga 12 kaki yang telah dipotong di dalam bahagian belakang kenderaan disyaki telah dicuri.

“Suspek berusia diantara 23 hingga 38 tahun, turut mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing kesemua suspek dapati positif dadah jenis Meth,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi,semua suspek direman selama 3 hari bermula semalam setelah permohonan dibuat di Mahkamah Shah Alam.

Tangkapan itu juga katanya, secara tidak langsung menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel yang berlaku di sekitar Shah Alam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan dengan kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini