PENAMPANG: Dua wanita antara tiga diberkas kerana disyaki mencuri kabel fiber optik milik syarikat telekomunikasi di Jalan Panglima Banting, di sini, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 45 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada jam 2.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kes curi kabel berkenaan dilaporkan pekerja syarikat telekomunikasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal polis di lokasi kejadian mendapati kabel fiber optik dalam anggaran 90 meter bernilai RM12,000 milik syarikat telekomunikasi dipotong dan diletakkan di tepi jalan.
“Turut ditemui satu pemotong besi yang disimpan di bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan itu, seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan ditahan di lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Sammy berkata, pihaknya memohon masyarakat supaya sentiasa menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan polis dalam membanteras isu jenayah di dalam daerah ini.