KUALA LUMPUR: Hanya mereka yang mempunyai Pendapatan Bercukai Tahunan melebihi RM230,000 dikenakan kenaikan kadar cukai di antara 0.5 hingga dua peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, negara perlu menyasar percukaian lebih saksama iaitu tidak membebankan rakyat namun pada masa sama menyokong pembangunan, melalui kaedah baharu ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar cukai negara perlu diperbaharui, berikutan ia tidak disemak sejak 2015, iaitu hampir sedekad yang lalu.
“Banyak komen di media sosial mengenai kadar cukai baharu membabitkan golongan berpendapatan tinggi antara RM100,001 hingga RM1 juta.
“Cara cukai kita disusun, mereka yang perlu membayar lebih selepas kadar cukai baharu sebenarnya adalah mereka yang mempunyai Pendapatan Bercukai Tahunan melebihi RM230,000.
“Menteri Kewangan sudah menegaskan bahawa kenaikan cukai ini hanya akan membabitkan sekumpulan kecil pembayar cukai,” katanya melalui kenyataan, di sini.
Melalui Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang ‘maha kaya’ iaitu berpendapatan tinggi, antara 0.5 sehingga dua peratus.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, ia membabitkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
Pada masa sama, Steven Sim berkata, kaedah percukaian ini memberi kelebihan kepada individu yang pendapatan bercukai tahunannya di bawah RM230,000 kerana ‘terlepas’ daripada membayar cukai sehingga kira-kira RM1,000.
“Kalau pendapatan bercukai tahunan anda di bawah RM230,000 anda tidak perlu membayar lebih.
“Malah anda sebenarnya akan untung daripada membayar cukai sehingga kira-kira RM1,000,” katanya. – BERITA HARIAN