Tumpuan :
Nasional

Cukai vape kurangkan ketirisan pendapatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Cukai ke atas vape dilihat langkah baik bagi mengurangkan ketirisan hasil pendapatan kerajaan daripada jualan rokok biasa yang kini berkurangan susulan kehadiran peranti vape.

Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi, berkata vape sudah lama berada dalam pasaran dan pengenalan cukai berkenaan mampu mendapatkan semula cukai rokok yang menyusut kesan lambakan vape.

 

“MASAC berharap apabila Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin dibentang di Parlimen pada Mei ini, ada seksyen yang hanya membenarkan penggunaan peranti vape dalam kalangan pengguna berusia 18 tahun dan ke atas.

“Ia bagi memastikan belia dan pelajar bawah umur itu tidak terbabit dengan penggunaan vape,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raja Azizan menegaskan, MASAC juga sedia menghantar seorang pegawai dalam kalangan Exco menganggotai Lembaga Racun Negara untuk membantu dalam perkara itu.

“Usaha berani kerajaan ini harus diimbangi dengan menambah perjawatan sama ada kontrak atau tetap kepada agensi pelaksana berkait dadah dan nikotin.

“Ini seperti inspektor kesihatan, pegawai rendah polis Narkotik, pegawai rendah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pegawai rendah Maritim Malaysia dan pegawai rendah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Langkah ini bagi memastikan perundangan baharu itu mampu dilaksanakan dengan berhemah oleh agensi sedia ada dengan kekangan dan beban tugas kini,” katanya.

Raja Azizan berkata, MASAC bersedia menganggotai kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) yang ditubuhkan KKM.

MASAC turut menyanjung keberanian Kementerian Kesihatan KKM membentangkan RUU baharu untuk mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Loading...
Terkini