KUALA LUMPUR: Cukai minuman bergula yang dikuatkuasakan negara sejak lima tahun lalu dilihat mengurangkan pengambilan minuman manis bergula kepada 16.4 peratus dalam kalangan remaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelaksanaan cukai itu menjadi salah satu daripada tiga inisiatif dalam Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan (BBM) dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030.
“Kerajaan melaksana dan memperluaskan duti eksais kepada minuman bergula tinggi dan berdasarkan status terkini cukai minuman bergula di Malaysia (1 Julai 2019) meningkat sebanyak RM0.40/liter sekali gus meningkatkan harga di pasaran sebanyak 2.24 peratus.
“Ia mengakibatkan pengurangan pengambilan minuman manis bergula kepada 16.4 peratus dalam kalangan remaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-kanak (JKK BBMKK) Bil. 2/2024 berkata, melalui pendekatan Inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan dalam kalangan Ibu Hamil sehingga Anak Berusia Dua Tahun, seramai 272 orang terbabit dalam dialog dan majlis peluncuran pada 6 Ogos lalu.
Katanya, mereka yang hadir adalah pengamal perubatan rangkaian swasta bagi klinik, hospital, makmal, farmasi, komuniti, persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
“Inisiatif kedua iaitu Melaksanakan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menyediakan satu menu berkhasiat (kitaran 4 minggu) untuk murid sekolah.
“Program itu menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia membabitkan sejumlah 277 (2.7 peratus sekolah) terbabit di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat hidangan berkhasiat mengikut keperluan.
“Kesan pelaksanaan HiTS menunjukkan pengurangan berat badan dan perkembangan kognitif murid,” katanya.
Beliau berkata, dalam mesyuarat yang sama, turut dibincangkan beberapa kertas kerja seperti Kertas Pertimbangan Cakna Status Pertumbuhan Kanak-kanak: Komitmen Merentasi Agensi bagi memerangi masalah beban berganda malpemakanan.
“Selain itu, dua kertas makluman juga dibentangkan iaitu Keberkesanan Pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diteliti bagi memastikan keberkesanan program ini berada pada tahap yang terbaik.
“Malah, Promosi Program Pemakanan di Sekolah turut diberi penekanan dalam mesyuarat ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023 –2030 perlu dilaksanakan secara bersepadu, efektif dan mencapai objektif untuk memerangi masalah BBM dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Katanya, langkah itu bagi melahirkan generasi Malaysia Madani yang berdaya saing, tinggi, sihat, cergas dan cerdas.
“Masalah beban berganda malpemakanan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah masalah kesihatan awam yang perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh memberikan implikasi negatif kepada perkembangan psikomotor, psikologi, ‘Intelligence Quotient’, ‘Emotional Quotient’ dan ‘Social Quotient’ kanak-kanak.
“Kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti di peringkat awal usia juga adalah lebih berisiko untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.