comscore
Tumpuan :
Nasional

CUEPACS seru penjawat awam tandatangan SSPA

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebelum 30 November ini, bagi membolehkan mereka menerima pelarasan gaji baharu bermula 1 Disember depan.

Seruan itu dibuat selepas sesi libat urus bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mesyuarat Khas Majlis Kongres CUEPACS yang berlangsung semalam.

Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, keputusan untuk menyokong pelaksanaan SSPA dibuat berasaskan semangat belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“CUEPACS menyokong penuh pelaksanaan SSPA kerana ia menawarkan pelbagai kelebihan yang akan memberi manfaat besar kepada semua penjawat awam, terutama dari segi peningkatan pendapatan dan faedah yang lebih kompetitif,” katanya.

Selain itu, CUEPACS berpendapat, SSPA bukan sahaja menjanjikan kenaikan gaji yang lebih kompetitif tetapi juga membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat berasaskan prestasi dan meritokrasi.

“Penjawat awam kini berpeluang menikmati struktur gaji yang lebih baik, yang setara dengan keadaan ekonomi semasa. Ini sekali gus membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” tambahnya.

Selain itu, katanya, penjawat awam juga akan menerima peluang kenaikan pangkat lebih adil melalui pelaksanaan SSPA.

“Proses kenaikan pangkat akan menjadi lebih telus dan berasaskan prestasi serta meritokrasi bagi memastikan setiap usaha penjawat awam dihargai dengan sewajarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu berkata, menerusi pelaksanaan skim itu kadar gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan.

SSPA, yang bakal menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai Disember ini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam dengan pelarasan gaji baharu, selepas kali terakhir disemak pada 2013.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini