Tumpuan :
Nasional

CUEPACS seru penjawat awam kawal hutang, elak pinjaman bertindih

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan bahawa penjawat awam perlu lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan keberhutangan yang serius sehingga berdepan tindakan tatatertib.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata ketegasan yang dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai isu keberhutangan dalam kalangan penjawat awam bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya peraturan berkenaan telah dikemaskini sejak 1993.

“CUEPACS menyeru kepada seluruh penjawat awam supaya mereka hendaklah peka ataupun mereka hendaklah tahu kadar kehutangan yang mampu mereka buat dan tidak menyalahi Peraturan Pegawai Awam 1993.

“Penjawat awam hendaklah bijak dalam mengawal perbelanjaan dan gaya hidup, ambil berat tentang komitmen kewangan

“Mereka harus manfaatkan perkhidmatan kaunseling kewangan jika mereka bermasalah, elakkan pinjaman yang tidak terkawal,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam agar mengelakkan pinjaman yang tidak terkawal dan menyeru ketua-ketua jabatan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memantau kewangan pegawai di bawah seliaan mereka.

Dalam masa yang sama, CUEPACS memohon sedikit kelonggaran terhadap dasar pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang hanya mempunyai baki 40 peratus daripada gaji sebagai take-home pay.

Menurutnya, pembelian rumah adalah satu aset kekal yang penting bagi penjawat awam dan wajar diberikan pertimbangan khas.

Mengulas mengenai kenaikan gaji yang diterima pada Disember lalu, Datuk Adnan menasihatkan penjawat awam agar tidak teruja untuk membuat pinjaman baharu atau bertindih.

“Sempena kenaikan gaji ini yang telah pun kita dapat pada Disember yang lalu, suka CUEPACS ingin meningatkan seluruh penjawat awam supaya tidak teruja untuk terus membuat pinjaman bertindih ataupun katakan tidak kepada pinjaman bertindih,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini