Tumpuan :
Nasional

CUEPACS saran pendekatan holistik atasi keberhutangan penjawat awam

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong usaha kerajaan dalam menangani keberhutangan serius dalam kalangan penjawat awam, namun menegaskan bahawa pendekatan yang lebih bersifat membimbing harus diutamakan berbanding tindakan tatatertib.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata masalah keberhutangan ini berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi serta kurangnya pendedahan terhadap pengurusan kewangan yang baik.

“CUEPACS percaya bahawa masalah keberhutangan ini berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi serta kurangnya pendedahan terhadap pengurusan kewangan yang baik.

“Oleh itu, langkah pencegahan dan pemulihan lebih berkesan perlu diterapkan sebelum tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam yang berdepan masalah hutang melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme sokongan seperti program kaunseling kewangan secara berkala, bimbingan pengurusan hutang melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta mewujudkan skim penjadualan semula pembayaran hutang khas bagi penjawat awam yang terkesan.

Selain itu, katanya, ketua jabatan harus memainkan peranan lebih aktif dalam memantau kesejahteraan kewangan pegawai di bawah seliaan mereka dengan memberikan bimbingan awal sebelum hutang menjadi tidak terkawal.

“Kami juga menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah proaktif seperti meningkatkan elaun penjawat awam, memperkenalkan skim bantuan kewangan kecemasan tanpa faedah, dan mengawal selia potongan gaji bulanan agar tidak membebankan pegawai.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kadar keberhutangan penjawat awam tetapi juga memastikan kesejahteraan mereka terpelihara, sekali gus meningkatkan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini