![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-ZAMIR-2023-01-24T144122.679.jpg)
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengambil pendekatan lebih adil dalam pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memberi kesan besar kepada kakitangan kontrak gred 11-18 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM).
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan kerajaan untuk tidak menyambung perkhidmatan kakitangan kontrak yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tidak mengambil kira pengalaman mereka selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak adalah tidak adil dan membebankan golongan terbabit.
Beliau berkata, ramai kakitangan kontrak dalam gred berkenaan telah ditamatkan perkhidmatan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan SPM, walaupun mereka telah lama berkhidmat dan menyumbang kepada sektor awam.
“Mereka yang sudah berkhidmat selama enam tahun juga tidak layak dipertimbangkan ke gred 1 SSPA, sedangkan bagi jawatan tetap, pengalaman ini diambil kira. Ada kakitangan kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun tetapi kini kehilangan pekerjaan secara serta-merta tanpa sebarang jaminan pekerjaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Adnan, sebahagian kakitangan kontrak juga menghadapi perubahan status daripada Contract For Service kepada Contract Of Service, yang menimbulkan kekeliruan dalam aspek faedah dan perlindungan kerja mereka.
Sehubungan itu, CUEPACS menggesa kerajaan mengiktiraf pengalaman kakitangan kontrak yang telah lama berkhidmat dan memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan secara mendadak.
“Kami mencadangkan supaya pengalaman kerja enam tahun diambil kira untuk penyambungan perkhidmatan ke gred 1 SSPA, sebagaimana yang diberikan kepada jawatan tetap. Selain itu, bagi mereka yang tidak memiliki SPM dan belum cukup enam tahun pengalaman, lantikan kontrak perlu diteruskan di bawah sistem SSM,” katanya.
Adnan turut menyeru agar kerajaan mengadakan rundingan segera dengan pihaknya bagi mencari penyelesaian yang adil dan tidak menindas kebajikan kakitangan kontrak dalam sektor awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.