comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuci kuali guna air longkang: KKM ingatkan pengendali makanan patuh peraturan

Foto tular

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua pengusaha premis dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mengamalkan amalan baik ketika pengendalian makanan dan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, ini termasuk membersihkan peralatan menggunakan sumber air yang bersih, menyimpan bahan mentah dan makanan di tempat yang selamat dan pada suhu yang betul serta mengamalkan kebersihan diri yang optimum semasa mengendalikan makanan.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan.

“Ia bagi memastikan pematuhan kepada
Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Peringatan itu dikeluarkan KKM susulan beberapa isu yang tular di media sosial berkaitan pengendali makanan mengendalikan makanan dengan cara tidak bersih dan selamat.

Ini termasuk tindakan seorang peniaga roti canai di lokasi yang tidak dapat dipastikan yang mencuci kuali menggunakan air longkang.

Satu lagi kes adalah di kawasan perindustrian Tanjung Minyak Perdana, Melaka yang mana sebuah premis kedai runcit menyimpan dan membersihkan sayur-sayuran di dalam tandas sebelum dijual kepada pembeli.

Mengulas lanjut, KKM berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi anti-tifoid.

Orang ramai pula dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil adalah bersih serta selamat.

“Sebelum membeli ‘Perhati dan Pilih’ serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Dalam hal ini, KKM akan terus menjalankan advokasi dan memantau serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin,” katanya.

Tambah KKM, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Selain itu, mereka juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook PKKM di ⁠http://moh.spab.gov.my atau di https://www.facebook.com/bkkmhq.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini