comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan warga India seludup tenggiling dalam bagasi di KLIA2 gagal

Pun Sian (dua dari kanan) menunjukkan tenggiling yang dirampas selepas cuba diseludup ke Colombo melalui KLIA2. – FOTO: Ihsan JKDM

PUTRAJAYA: Cubaan seorang lelaki warga India menyeludup tiga tenggiling di Lapangan terbang Antarabangsa 2 (KLIA) pada 28 Oktober lalu, berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Semua tenggiling itu ditemukan dalam bagasi dibawa lelaki terbabit sejurus dia ditahan untuk tujuan pemeriksaan oleh anggota Polis Bantuan KLIA2, kira-kira jam 9 malam selepas disyaki mengandungi hidupan liar.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 111 KLIA, Wong Pun Sian berkata, hasil maklumat itu pemeriksaan dilakukan ke atas bagasi terbabit oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum mendapati ia mengandungi tiga bekas kecil berisi tenggiling.

“Lelaki terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat PERHILITAN di KLIA2 untuk proses dokumentasi dan pengecaman spesis hidupan liar itu.

“Kes kemudian diserahkan kepada JKDM dan lelaki terbabit direman bagi membantu siasatan,” katanya melalui kenyataan.

Pun Sian berkata, siasatan mendapati suspek ditawarkan melalui ejen di India untuk membawa haiwan itu ke Colombo dengan semua urusan tiket penerbangan dan penginapan diuruskan ejen terbabit.

Katanya, urusan serahan bagasi dilakukan di kawasan Gateway KLIA2 sebelum suspek membawa bagasi itu untuk menaiki penerbangan ke destinasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini