Oleh: Kumaran Rajamoney
BALING: Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan terhadap sebuah kereta yang dipercayai digunakan bagi melakukan penyeludupan warga asing, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan telah dikesan memecut laju dari pemeriksaan polis dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Raya Sungai Lebey, Gerik, Perak.
Kenderaan itu kemudiannya dikesan di sebuah stesen minyak di Kuala Rui.
“Semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek dalam kenderaan itu telah memecut menyebabkan polis bertindak mengejar sehingga memasuki sempadan Baling, di Kedah dan meminta bantuan pasukan peronda di sini.
“Kenderaan itu telah dipandu dalam keadaan yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya dari arah bertentangan. Anggota kenderaan peronda MPV Gerik telah memberikan amaran melalui alat perhubungan spectra sebanyak tiga kali,” katanya.
Suspek bagaimanapun enggan menghentikan kenderaan sehingga anggota peronda terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah tayar kenderaan suspek, dengan dua daripadanya terkena pada bahagian bonet.
“Kenderaan suspek masih memecut laju sehingga terbabas di Jambatan Kuala Pegang. Dua Suspek yang dipercayai pemandu dan penumpang hadapan berjaya melarikan diri ke bawah jambatan dan menghilangkan diri.
Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menemukan seorang lelaki dan tiga wanita dipercayai warganegara asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri, atau dokumen perjalanan yang sah.
Seorang dari suspek yang lolos, kemudiannya berjaya ditahan di Stesen Bas Gerik sekitar jam tiga petang tadi.
Kesemua tangkapan dan rampasan sebuah kenderaan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut.
Pihak IPD Baling Kes disiasat dibawah Seskyen 39 Akta Senjata 1960 manakala IPD Gerik menjalankan siasatan dibawah Seskyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.