Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup lebih 5 tan beras, tumpas

TAWAU: Lebih lima tan Beras Putih Import (BPI) bersubsidi yang cuba diseludup keluar melalui sebuah jeti haram di Batu 3, Jalan Apas dekat sini, gagal.

Ini susulan tindakan pantas sepasukan empat pegawai dari Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Tawau yang melakukan serbuan di jeti berkenaan, kira-kira 4 petang Selasa lalu.

 

Ketua Cawangannya, Mohd Nur Edzudin A Bakar berkata, hasil maklumat dan risikan, serbuan dilakukan ke atas sebuah bot jongkong yang sedang memunggah barang dagangan di jeti berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 103 guni Beras Putih Import Bersusbsidi disorok di bahagian ruang paling bawah bot jongkong terbabit yang dilitupi dengan beras pulut dan barangan lain.

“Sejumlah 5,150 kilogram beras dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM11,587.50 kemudiannya disita kerana disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran tanpa sebarang deklarasi dibuat oleh pemilik lesen barang dagangan terbabit.

“Barang rampasan kemudiannya dibawa dan di simpan di Gudang Bernas Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nur Edzudin menegaskan, pihaknya sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti di semua jeti termasuk jeti haram bagi membanteras kegiatan penyeludupan beras di daerah ini.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM15,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini