KUALA SELANGOR: Cubaan memotong dan memasuki laluan secara mengejut oleh sebuah kereta tidak dikenal pasti dipercayai punca nahas tiga kenderaan di Kilometer 49.5 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Pasir Penambang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kemalangan jam 2 petang itu membabitkan lori tangki, Toyota Alphard dan Proton Saga.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori tangki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Klang.
“Setibanya di lokasi, sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran dari arah kanan cuba memotong dan tiba-tiba memasuki laluan lori tangki,” katanya dihubungi BH, hari ini.
Azaharudin berkata, pemandu lori tangki cuba mengelak lalu terbabas dan melanggar Toyota Alphard dan Proton Saga yang berhenti di lampu isyarat.
“Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 33 tahun anakala Proton Saga dipandu lelaki warga emas berusia 64 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Semalam, media melaporkan empat cedera, manakala tiga selamat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan yang terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 2.19 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.