comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cubaan larikan budak,​ suspek umpan RM50

Oleh: Aslina Abu Bakar

JERAM: Suspek yang cuba melarikan dua kanak-kanak di sini semalam dikatakan mengumpan sejumlah wang kepada mangsa.

Insiden semalam adalah kali kedua selepas kes pertama berlaku April lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6:30 petang semalam, dua kanak-kanak itu dilarikan seorang lelaki menaiki kereta bewarna hitam.

Menurut ibu salah seorang mangsa Azlinda Mohamad Wazir, 33, anaknya berusia lapan tahun dan rakannya enam tahun diumpan dengan wang RM50 sebelum diculik ketika bermain.

“Dia kata tak tau dia naik kereta Bezza warna hitam, kenal tak orangnya, dia kata tak kenal, dia kata lelaki. tu yang saya terus pergi cari, ” katanya.

Jelas Azlinda ketika laporan polis dibuat di Balai Polis Jeram, dia dimaklumkan kedua-dua mangsa sudahpun ditemui orang ramai.

Beliau berkata kejadian Syawal lalu membabitkan anak jirannya dan tidak menolak kemungkinan suspek sama terlibat dalam insiden terbaharu semalam.

Menceritakan detik kejadian itu mangsa akui masih terkejut.

“Dia tak hantar pun surat tu, dia bawa saya pergi jalan-jalan pastu pergi beli air,” ujarnya.

Ibu kepada seorang lagi mangsa culik, Azura Abdullah berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja.

“Memang risaulah sebab berlaku anak sendiri.. lepas ni tak lagi kejadian macam ni, bagi dia duduk kat rumah taknak jadi macam ni,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata pihaknya menerima laporan dibuat ibu seorang kanak-kanak kejadian itu jam 6.30 petang semalam.

“Kami juga mengesan hantaran tular di media sosial berkaitan dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia 8 dan 6 tahun dilarikan seorang lelaki memandu Perodua Bezza berwarna hitam di Taman Ikan Emas.

“Pihak polis bertindak menjalankan siasatan segera sejurus menerima laporan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ambia berkata, kedua-dua kanak-kanak berkenaan ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa, berhampiran rumah pada jam 7.45 malam tadi, kira-kira satu jam selepas dilaporkan hilang.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kes berkenaan,” katanya mengingatkan orang ramai mengawasi anak yang ada di luar rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini