KAJANG : Tindakan dua lelaki dipercayai suspek pecah rumah dan curi kabel cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan awam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang semalam, pihaknya menerima laporan dari anggota kereta peronda polis (MPV) berhubung kejadian kejar-mengejar melibatkan sebuah trak pikap jenis Isuzu D-Max berwarna perak.
Cubaan lari dari polis sia-sia, suspek pecah rumah dicekup pic.twitter.com/2mIKI4hExz
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 15, 2023
Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri dari pemeriksaan polis sebelum memandu melawan arus di kilometer 20.9 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) sehingga berlaku kemalangan dengan kenderaan awam.
“Hasil pemeriksaan, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 31 dan 30 tahun.
“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan turut menjumpai beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk melakukan kesalahan jenayah pecah rumah dan curi kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zaid berkata, ujian air kencing pada kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai 24 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik.
“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 17 Julai. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.