comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan bunuh polis, 2 termasuk pesara tentera ditahan bantu siasatan

Dua lelaki termasuk seorang pesara tentera dibawa polis untuk direman di Mahkamah Kangar bagi membantu siasatan cubaan membunuh polis dan mencuri kabel TM di Jejawi, Arau. FOTO: NSTP

ARAU: Dua lelaki termasuk pesara tentera direman sehingga 5 Oktober depan bagi membantu siasatan berhubung cubaan membunuh anggota polis di Jalan Arau-Kangar berhampiran Taman Jejawi Permai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan di Sungai Petani sekitar jam 6.10 petang semalam.

“Suspek pertama yang juga pesara tentera berusia 34 tahun ditahan di kediamannya di Taman Ria Jaya, manakala suspek kedua yang bekerja sebagai mekanik juga ditahan di sebuah rumah di Taman Ria di Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati, suspek pertama mengaku ada menyewa Proton X70 yang digunakan dalam kejadian cubaan membunuh berkenaan.

“Kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna warna merah itu dipercayai disewa di Air Hitam, Pulau Pinang dan menyerahkan SUV itu kepada salah seorang suspek yang didapati masih bebas.

“Manakala suspek kedua pula mengaku membawa dan melarikan diri semasa kejadian menggunakan jenis kereta Perodua Myvi warna perak,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama tiada rekod kesalahan.

“Rakannya pula mempunyai 20 rekod kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dan jenayah lain.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membencanakan kabel,” katanya.

Terdahulu, dua suspek yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Kangar untuk direman dengan diiringi anggota polis bertugas.

Sementara itu, tempoh reman empat lagi suspek berusia 20 hingga 34 tahun yang ditahan sebelum ini tamat hari ini sebelum ditahan semula oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk siasatan terhadap kes jenayah yang dilakukan suspek di daerah berkenaan.

Pada Jumaat lalu, dua anggota polis nyaris maut selepas cuba dirempuh sebuah SUV yang dinaiki empat lelaki ketika mereka cuba menahan untuk melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu di Jejawi, Arau.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu juga, polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan berkenaan sebelum berjaya menahan kesemua suspek dan merampas kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) yang cuba dilarikan oleh lelaki berkenaan dalam kenderaan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini