comscore
Tumpuan :
Nasional

Cubaan 206 PATI masuk Malaysia guna perairan negara gagal

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan kemasukan 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan negara dalam tempoh tujuh bulan sejak Januari hingga Julai lalu.

 

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil operasi yang dijalankan bagi tempoh sama turut merekodkan 446 kes tangkapan melibatkan vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan dan 68 kes tangkapan melibatkan pencerobohan vesel nelayan asing.

Selain itu, 151 kes tangkapan melibatkan vesel kargo direkodkan dan enam kes penyeludupan kontraban (barang yang dilarang oleh undang-undang sesebuah negara daripada dieksport atau diimport).

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan sempena Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, usaha menjaga keselamatan negara tidak terletak kepada tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, namun peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keharmonian tanah air terus terpelihara.

Pada masa sama, Datuk Saiful berharap seluruh lapisan masyarakat sama ada komuniti maritim mahupun komuniti bandar menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri di seluruh negara atau melalui talian kecemasan NG 999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini