comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuba elak motosikal, kereta dipandu wanita terjunam dalam tali air

Foto ihsan bomba

PASIR SALAK: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta dinaikinya terjunam ke dalam tali air di Changkat Lada, Kampung Gajah, hari ini.

Difahamkan, Proton Iriz yang dipandu wanita itu dipercayai terbabas selepas cuba mengelak motosikal ditunggang seorang lelaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.39 pagi.

“Mangsa wanita berjaya dikeluarkan daripada tali air oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Kedua-dua pemandu dan penunggang terbabit cedera diberikan rawatan awal oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Abdul Rahman Peie memaklumkan, kemalangan terbabit menyebabkan Proton Iriz itu tenggelam sepenuhnya di dalam tali air.

Operasi yang disertai tujuh anggota bomba itu ditamatkan jam 12.37 tengah hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini